King Sing gesa saringan juruterbang, kru kabin diperketat
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa sistem saringan sebelum bertugas bagi juruterbang dan kru kabin dikaji semula serta diperketatkan bagi memastikan keselamatan penerbangan sentiasa terjamin.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu penting susulan penahanan seorang pembantu juruterbang di Indonesia baru-baru ini atas dakwaan terlibat dalam penyeludupan dadah.
Beliau berkata, kes berkenaan perlu dilihat sebagai amaran serius kerana turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem pemantauan dalam sektor penerbangan.
“Syarikat penerbangan, pihak berkuasa kawal selia serta bahagian narkotik polis perlu bekerjasama melaksanakan saringan sebelum kakitangan penerbangan memulakan tugas.
“Kakitangan boleh diarahkan melapor diri antara satu jam setengah hingga dua jam lebih awal bagi menjalani saringan.
“Mereka hanya dibenarkan bertugas selepas melepasi pemeriksaan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Baca juga : Pembantu juruterbang disyaki ambil bekalan dadah di Ampang – Polis
Tiong berkata, jenis dan skop ujian boleh ditentukan golongan profesional berkaitan, namun apa yang penting ialah sistem pencegahan lebih proaktif dan berkesan diwujudkan.
Beliau berkata, Malaysia Aviation Group sebelum ini memaklumkan pembantu juruterbang berkenaan tidak mengendalikan penerbangan pada hari kejadian, sebaliknya berada di tempat duduk tambahan dalam kokpit sebagai pemerhati.
Namun katanya, isu utama bukan sama ada individu berkenaan menerbangkan pesawat atau sebaliknya, tetapi keputusan ujian air kencing yang positif serta kelemahan pemantauan yang terbongkar.
Katanya, keselamatan penerbangan membabitkan nyawa penumpang dan turut memberi kesan terhadap keyakinan pelancong antarabangsa terhadap sistem penerbangan Malaysia.
Pada masa sama, beliau menggesa sistem saringan dan keselamatan lapangan terbang dikaji semula, termasuk aspek peralatan, prosedur dan penyelarasan antara agensi.
Katanya, langkah itu penting bagi menutup sebarang kelompangan, memulihkan keyakinan terhadap sektor penerbangan dan melindungi imej Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








