BERITA SEMASA

Juruterbang wanita rugi hampir RM200,000 ditipu agensi umrah

NILAI – Hasrat murni seorang juruterbang wanita untuk menunaikan ibadah haji tidak kesampaian apabila dia menjadi mangsa penipuan sebuah agensi umrah yang menyebabkan kerugian hampir RM200,000.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas mendapati agensi terbabit telah menghentikan operasi sekitar Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa yang bertugas dengan sebuah syarikat penerbangan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Nilai kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa telah diperkenalkan dengan seorang individu daripada agensi pelancongan berkenaan yang menawarkan pakej haji bermula 14 Januari lalu.

“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah RM194,970 ke akaun milik agensi berkenaan sebagai bayaran penuh bagi menunaikan ibadah haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jelas Abdul Malik, pada 15 Mac lalu, wanita itu mendapati agensi terbabit tidak lagi beroperasi dan segala usaha untuk menghubungi wakil syarikat terbabit juga gagal.

Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kita sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam membuat sebarang urusan melibatkan transaksi kewangan, khususnya melibatkan agensi pelancongan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Nilai bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button