Generasi baharu Rabbani, AEYDAN jejak langkah ke Tanah Suci
MEKAH – Kumpulan nasyid baharu tanah air, AEYDAN, kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan umrah pertama mereka selepas dilantik secara rasmi sebagai Ikon dan Mutawif The Mahabbah, jenama umrah tersohor berteraskan pendekatan tarbiah dan kasih sayang Rasulullah SAW.
Pelantikan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap keperibadian dan perjuangan seni AEYDAN, malah menjadi simbol generasi muda yang menghidupkan kembali semangat dakwah serta mesej kasih sayang melalui seni dan ibadah.
Menurut The Mahabbah, AEYDAN dipilih kerana keupayaan mereka menyampaikan mesej positif dengan pendekatan yang segar dan mendidik.
“AEYDAN bukan sekadar kumpulan nasyid mereka adalah suara anak muda yang membawa mesej kasih sayang Rasulullah SAW melalui seni dan kini melalui ibadah. Kami percaya langkah mereka ke Tanah Suci ini akan membuka lebih banyak hati untuk mendekati nilai-nilai kebaikan,” ujar jurucakap The Mahabbah.
AEYDAN yang dianggotai oleh Ilham Fikri Asri, Izwan Izzuddin Azadan, Farhan Rithauddeen, Fardeen Imran Rithauddeen dan Haikal Rahmat merupakan anak-anak kepada anggota kumpulan nasyid legenda RABBANI, sekali gus meneruskan legasi seni berjiwa Islamik dengan gaya muzik kontemporari.
Menariknya, ibadah umrah yang berlangsung dari 5 hingga 13 November ini menjadi detik bersejarah dalam perjalanan karier kumpulan itu yang semakin mendapat tempat di hati peminat menerusi dua single popular, Bintang dan Purnama.
Bagi AEYDAN, peluang menjadi sebahagian keluarga The Mahabbah dianggap satu amanah besar untuk terus menyebarkan nilai Islamik melalui seni.
“Umrah ini bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi perjalanan jiwa untuk memperkukuh niat kami dalam menyampaikan mesej nasihat melalui seni. Insya-Allah, kami akan terus membawa nilai Islamik dengan cara yang segar dan mendidik,” kata Ilham Fikri mewakili kumpulan tersebut.
Dengan sokongan peminat dan penggiat industri nasyid, langkah AEYDAN ke Mekah bukan sekadar perjalanan spiritual, tetapi permulaan bab baharu dalam perjuangan seni Islamik moden.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















