BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Glocal Travel perkenal francais, sasar 50 francaisi umrah, haji

KUALA LUMPUR – Glocal Travel & Tours (Glocal Travel) menyasarkan seramai 50 francaisi sebagai langkah awal memperluaskan perniagaan berasaskan model francais selepas dipilih sebagai agensi pelancongan umrah dan haji pertama di bawah kendalian Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Md Idzham Isa berkata, sasaran itu mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan model perniagaan yang lebih tersusun, berdaya saing serta menyokong pembangunan syarikat tempatan dalam sektor francais.

Menurut beliau, kesiapsiagaan Glocal Travel terbukti apabila berjaya menamatkan penyertaan dalam Program Pembangunan Pernas Xcelerator yang membimbing syarikat berpotensi tinggi ke arah sistem francais.

“Melalui program itu, Glocal Travel telah melalui proses penstrukturan semula perniagaan melibatkan pembangunan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sistem latihan, pengukuhan tadbir urus serta pemantapan model perniagaan sebagai persediaan pengembangan melalui rangkaian francais,” katanya pada majlis pelancaran awal pra-francais syarikat itu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Pernas, Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Nor Azam M. Taib.

Majlis tersebut menjadi platform memperkenalkan hala tuju syarikat dalam membangunkan jenama francais umrah dan haji berstandard tinggi dengan penekanan kepada penyeragaman operasi, kualiti perkhidmatan serta pengalaman pelanggan yang konsisten di setiap cawangan.

francais
Ketua Pegawai Eksekutif Glocal Travel & Tours (Glocal Travel), Md Idzham Isa menyatakan komitmen syarikat untuk memperluaskan perniagaan melalui model francais yang lebih tersusun dan berdaya saing.

Mengulas lanjut, Md Idzham berkata, pendekatan itu dijangka memberi nilai tambah kepada jemaah melalui pengurusan perjalanan yang lebih tersusun, telus dan profesional, disokong oleh mutawwif serta tenaga pengurusan berpengalaman.

Katanya, sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, Glocal Travel merancang memperkenalkan penawaran baharu termasuk pakej premium, Muslim Tours serta pengukuhan platform digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.

“Pelan pembangunan ini merangkumi pengembangan rangkaian francais di seluruh negara, latihan usahawan francais, pemantapan SOP, penjenamaan serta peningkatan kualiti perkhidmatan.

“Selain itu, ia turut melibatkan pengukuhan sistem pemasaran, digital dan rangkaian affiliate bagi memastikan pertumbuhan mampan. Dengan rekod menguruskan ribuan jemaah setiap tahun serta jaringan kerjasama strategik di Mekah dan Madinah, Glocal Travel berada pada landasan kukuh untuk berkembang sebagai jenama pra-francais berpotensi tinggi dalam industri pelancongan Islam,” katanya.

francais
Glocal Travel selepas berjaya menamatkan penyertaan dalam Program Pembangunan Pernas Xcelerator, iaitu inisiatif yang membimbing syarikat tempatan berpotensi tinggi ke arah perniagaan francais.

Tambah beliau, pelancaran awal itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh kedudukan perniagaan sekali gus membuka laluan kepada pembangunan ekosistem francais umrah dan haji yang lebih mampan pada masa hadapan.

Sementara itu, Glocal Travel merupakan agensi pelancongan milik Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan menyeluruh dengan penekanan terhadap kualiti dan kecekapan pengurusan perjalanan.

Selain pakej umrah dan ziarah, syarikat itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain termasuk Free Independent Traveller (FIT), Group Inclusive Tour (GIT), percutian santai, lawatan insentif korporat, pelancongan minat khas, lawatan teknikal, pengembaraan serta pelancongan berasaskan alam semula jadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button