LUAR NEGARA

Bekas juruterbang elit F-35 AS ditahan, didakwa latih Tentera Udara China tanpa kebenaran

WASHINGTON – Seorang bekas pegawai Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dan juruterbang pejuang elit ditahan selepas didakwa secara haram memberikan latihan ketenteraan kepada juruterbang Tentera Udara China.

Jabatan Kehakiman AS memaklumkan bekas Mejar Tentera Udara, Gerald Brown, 65, yang pernah dikenali dengan tanda panggilan juruterbang ‘Runner’ ditahan di Indiana hari ini, atas pertuduhan berkonspirasi menyediakan perkhidmatan pertahanan kepada juruterbang China tanpa kebenaran, lapor Al Jazeera.

Brown merupakan bekas jurulatih pesawat pejuang F-35 Lightning II dan mempunyai pengalaman berdekad lamanya dalam Tentera Udara AS.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Kontra Perisikan dan Perisikan Balas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Roman Rozhavsky, Brown didakwa mengkhianati negaranya dengan melatih juruterbang China untuk berhadapan dengan pasukan yang pernah diikrar untuk dilindungi.

“Kerajaan China terus mengeksploitasi kepakaran anggota semasa dan bekas anggota angkatan tentera AS bagi memodenkan keupayaan ketenteraannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Peguam Negara AS bagi Daerah Columbia, Jeanine Ferris Pirro turut menegaskan bahawa Brown dan sesiapa sahaja yang bersekongkol menentang kepentingan negara akan dipertanggungjawabkan.

Menurut Jabatan Kehakiman, Brown berkhidmat selama 24 tahun dalam Tentera Udara AS, mengetuai misi tempur dan pernah memimpin unit sensitif termasuk yang terlibat dengan sistem penghantaran senjata nuklear.

Selepas meninggalkan tentera pada 1996, beliau bekerja sebagai juruterbang kargo komersial sebelum menjadi kontraktor pertahanan yang melatih juruterbang AS menerbangkan pesawat pejuang A-10 Thunderbolt II dan F-35.

Brown didakwa mula ke China pada Disember 2023 untuk melatih juruterbang negara itu dan berada di sana sehingga kembali ke AS pada awal Februari 2026.

Kontrak melatih juruterbang China itu pula dirunding oleh Stephen Su Bin, warga China yang pada 2016 mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana berkomplot menggodam kontraktor pertahanan AS bagi mencuri rahsia ketenteraan untuk China.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button