JENAYAH & MAHKAMAH

Malindo Air diperintah bayar RM1.44 juta kepada tiga juruterbang

KUALA LUMPUR – Mahkamah Perusahaan mengarahkan Malindo Airways Sdn Bhd membayar pampasan berjumlah RM1.44 juta kepada tiga bekas juruterbang selepas mendapati pemecatan mereka semasa pandemik Covid-19 dibuat tanpa sebab munasabah.

Presiden Mahkamah Perusahaan, Zalina Awang @ Mamat memutuskan penamatan perkhidmatan terhadap M. Muralitharan, Fong Wai Ming dan Nik Afiq Farhan Nik Mohd Hilmi pada 1 November 2020 tidak dilakukan secara adil dan tanpa niat baik.

Menurut keputusan mahkamah, syarikat penerbangan yang kini dikenali sebagai Batik Air Malaysia itu diarahkan membayar tunggakan gaji berdasarkan gaji terakhir sehingga maksimum 24 bulan, selain pampasan sebagai ganti pengembalian kerja bersamaan satu bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

Muralitharan dan Fong masing-masing menerima pampasan RM596,000 manakala Nik Afiq menerima RM252,000, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM1.44 juta.

Mahkamah turut mengarahkan bayaran dibuat dalam tempoh 30 hari daripada tarikh award pada 17 Disember lalu, dengan faedah lapan peratus setahun dikenakan sekiranya gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan.

Zalina berkata, pengembalian kerja tidak sesuai berikutan hubungan antara pihak syarikat dan plaintif telah terjejas, sekali gus menjadikan pampasan kewangan sebagai remedi paling wajar.

Beliau berkata, syarikat gagal membuktikan pemecatan dibuat dengan sebab munasabah seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Mahkamah juga mendapati Malindo Air tidak mematuhi prosedur sewajarnya termasuk perundingan, alternatif pemberhentian, prinsip ‘last in first out’ serta peraturan senioriti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button