BERITA SEMASASUKAN

Salah ucap selamat tinggal kepada Liverpool selepas 9 tahun

LIVERPOOL – Bintang Liverpool, Mohamed Salah, mengumumkan akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini, sekali gus menutup tirai sembilan tahun perjalanan gemilangnya bersama The Reds.

Kelab berkenaan mengesahkan perkara itu dengan menyatakan kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak meneruskan tahun terakhir kontrak lanjutan dua tahun yang ditandatangani pada penghujung musim 2025.

“Salah mahu membuat pengumuman ini seawal mungkin kepada penyokong sebagai tanda hormat dan penghargaan terhadap mereka,” menurut kenyataan kelab.

Pemain berusia 33 tahun yang digelar “Raja Mesir” itu menyertai Liverpool pada tahun 2017 dan menjaringkan 255 gol dalam 435 penampilan, iaitu ketiga terbanyak dalam sejarah kelab.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, beliau mencatat 281 sumbangan gol (189 gol, 92 bantuan jaringan) dalam 310 perlawanan menjadikan ia rekod tertinggi dalam sejarah liga.

Jumlah keseluruhan 191 gol dalam karier Liga Perdana meletakkannya di tangga keempat sepanjang zaman.

Salah berkata, beliau tidak pernah menyangka Liverpool dan penyokongnya akan menjadi sebahagian penting dalam hidupnya.

“Liverpool bukan sekadar kelab bola sepak. Ia adalah semangat, sejarah dan jiwa yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

Sepanjang bersama Liverpool, Salah membantu pasukan menjuarai Liga Perdana 2019-20, iaitu gelaran liga pertama kelab dalam tempoh 30 tahun selain sekali lagi muncul juara musim 2024-25.

Beliau turut memenangi Piala FA (2022), Piala Liga (2022-2024) serta Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2019.

“Kami meraikan kejayaan bersama dan melalui detik sukar bersama. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan dan penyokong.

“Sokongan yang diberikan sepanjang tempoh terbaik dan paling sukar dalam karier saya tidak akan saya lupakan,” kata Salah.

Salah turut mengakui keputusan untuk meninggalkan kelab bukan sesuatu yang mudah.

“Anda semua memberikan saya detik terbaik dalam hidup. Saya akan sentiasa menjadi sebahagian daripada anda. Kelab ini akan sentiasa menjadi rumah saya,” tambahnya.

Musim lalu, Salah menjaringkan 29 gol untuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana buat kali keempat, menyamai rekod legenda Thierry Henry.

Beliau juga memenangi anugerah Perancang Terbaik selepas mencatat 18 bantuan jaringan, menjadikan jumlah 47 sumbangan golnya sebagai yang tertinggi dalam satu musim 38 perlawanan.

Salah kini dijangka menamatkan musim terakhirnya bersama Liverpool dengan penuh kenangan sebelum memulakan cabaran baharu dalam kariernya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button