SUKAN

Leeds ikat Liverpool 3-3 dalam aksi penuh drama di Elland Road

LEEDS – Pertembungan penuh dramatik antara Leeds United dan Liverpool berakhir dengan keputusan seri 3-3 apabila tuan rumah bangkit mencuri satu mata pada minit-minit terakhir permainan dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Perlawanan bermula agak berhati-hati dengan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan pada separuh masa pertama.

Namun babak kedua berubah wajah apabila Liverpool membuka tirai jaringan dengan dua gol pantas menerusi Hugo Ekitike pada minit ke-48 dan 50, sekali gus memberikan pelawat kelebihan selesa.

Tersentak dengan situasi itu, Leeds kembali mengatur gerakan.

Sorakan penyokong sendiri menjadi pembakar semangat sebelum Dominic Calvert-Lewin merapatkan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-73.

Hanya dua minit berselang, Anton Stach meledak gol penyamaan yang menghidupkan kembali peluang tuan rumah.

Drama di Elland Road tidak berakhir di situ. Dominik Szoboszlai kembali meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-80, namun kealpaan di hujung permainan menghukum The Reds.

Pemain gantian, Ao Tanaka muncul penyelamat Leeds apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-96, sekali gus mengundang kegembiraan penyokong yang bersorak bagaikan meraikan kemenangan.

Keputusan itu memberi tonik penting buat Leeds yang kini berjuang keluar dari kelompok bawahan liga, manakala Liverpool pula pulang dengan rasa kecewa selepas mensia-siakan peluang mengutip tiga mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button