Liverpool pecat Slot
LONDON – Kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool hari ini mengumumkan pemecatan pengurus, Arne Slot.
Reuters yang memetik kenyataan kelab tersebut sebagai berkata, keputusan untuk menamatkan khidmat Slot bukan sesuatu yang mudah.
“Keputusan ini amat sukar untuk dibuat. Sumbangan Arne kepada Liverpool FC sepanjang tempohnya bersama kelab adalah besar, bermakna dan yang paling penting, berjaya.
“Sejak pertama kali kami mengenalinya, jelas beliau seorang individu yang bukan sekadar menerima tanggungjawab, malah menyahut cabaran itu sepenuhnya.
“Perkara itu terbukti apabila beliau bersetuju mengambil alih jawatan ketua jurulatih, memimpin kami meraih kejuaraan Liga Perdana dan berdepan pelbagai cabaran sepanjang musim yang baru berakhir,” kata kenyataan itu.
Bekas pengendali Feyenoord itu mengambil alih tugas daripada Juergen Klopp pada 2024 dan mencipta impak segera apabila membimbing Liverpool menjulang kejuaraan Liga Perdana dalam musim pertamanya bersama kelab Merseyside tersebut.
Namun, musim kedua Slot bertukar menjadi kempen yang mengecewakan apabila Liverpool gagal mempertahankan gelaran liga, selain terpaksa berhempas-pulas untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.
The Reds juga gagal meraih sebarang trofi domestik.
“Secara kolektif, kami berpendapat perubahan adalah perlu untuk memastikan kelab terus berkembang. Sekali lagi, perlu ditegaskan bahawa keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa,” kata kenyataan itu lagi.
Liverpool turut memaklumkan proses mencari pengganti Slot sedang dijalankan.
Laporan media di England mengaitkan pengendali Bournemouth, Andoni Iraola, sebagai calon utama selepas beliau berjaya membimbing kelab itu menamatkan saingan liga di tangga keenam dan layak ke pentas Eropah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








