Pemain Liverpool, Hugo Ekitike hayati Ramadan dengan penuh makna
PARIS – Penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike menyifatkan Ramadan sebagai bulan penuh makna yang membuka ruang untuk beliau memperbaiki diri dan mengeratkan hubungan dengan keluarga serta rakan sepasukan.
Menurutnya, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya peluang untuk lebih dekat dengan agama dan melakukan kebaikan.
“Ini bulan yang baik untuk lebih dekat dengan agama dan orang sekeliling. Lakukan perbuatan baik dan menjadi lebih suci daripada biasa,” katanya dalam satu video di laman Facebook hari ini.
Mengulas mengenai tradisi yang paling dinantikan, Ekitike berkata beliau teruja menjalani ibadah puasa selain berkongsi waktu berbuka bersama keluarga di rumah.
“Saya jelas menantikan untuk berpuasa. Kami menerima tetamu di rumah, berkongsi makan malam dan cuba menjadi lebih dekat dengan Allah S.W.T.
“Walaupun bukan Ramadan, kami tetap cuba untuk sentiasa dekat dengan Tuhan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menghargai sokongan keluarga dan pihak Liverpool sepanjang bulan Ramadan, terutama dalam menyesuaikan jadual latihan dan perlawanan.
“Kami ada beberapa pemain Islam dalam pasukan. Kami sudah berbincang dan saya tahu kami mendapat sokongan 100 peratus daripada kelab,” katanya lagi.
Tambah Ekitike, Ramadan juga menjadi tempoh untuk beliau bermuhasabah dan menilai diri.
“Saya banyak meluangkan masa bersendirian dan bertanya kepada diri sendiri tentang kehidupan serta cara saya berkelakuan.
“Selepas Ramadan, saya biasanya berasa lebih tenang dan lebih sabar terhadap orang lain dan diri sendiri,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan selamat Ramadan Mubarak kepada semua penyokong Liverpool.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








