JENAYAH & MAHKAMAH

“Tuduh saya bawa Islam secara berlebihan adalah pandangan haprak” – PM

KUBANG PASU – Perdana Menteri menempelak kelompok kecil yang mengatakan kerajaan kini bersikap Islamist atau menerapkan konsep Islam secara berlebihan susulan fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diperluas ke kementerian lain.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pandangan tersebut adalah pandangan yang haprak.

Jelasnya, fungsi Jakim kini tidak hanya tertakluk kepada soal agama dan perundangan Islam malah ia meliputi ekonomi, program digital dan kurikulum pendidikan.

“Jakim sekarang di bawah pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan ini diperluas tugasnya untuk turut membicara soal ekonomi, program digital dan kurikulum pendidikan.

“Tanggungjawab itu lebih luas supaya nilai Islam diterapkan dan ini pula ditentang oleh pihak yang tidak faham dalam kalangan kelompok kecil bukan Islam sehingga menulis secara kasar kononnya Anwar sekarang mempamerkan sikap Islamist yang kukuh yang cuba diselindungi selama ini dengan mengarahkan Jakim menguasai semua sistem.

“Ini haprak punya pandangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang di sini hari ini.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, dakwaan tersebut menunjukkan ada dalam kalangan orang bukan Islam tidak faham akan kepentingan mendidik masyarakat mengenai konsep Islam yang sebenar.

“Saya nak bagitahu rakan-rakan bukan Islam terima kasih atas sokongan mereka tapi mereka juga harus faham yang umat Islam ini ilmunya dangkal, sikapnya itu bengis dan keras tidak akan membawa rakyat menarik dan meminati Islam.

“Maka masa depan kita lebih celaru dari segi pertarungan, pertembungan antara dua pihak ini. Jadi itu sebab mengapa saya bentuk Yayasan Karyawan dan tugas mereka adalah menerbitkan karya-karya besar (untuk membantu isu ini),” jelasnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button