
Perarakan kemenangan Liverpool bertukar tragedi, puluhan cedera dirempuh
LIVERPOOL – Kegembiraan ribuan penyokong Liverpool FC meraikan kejayaan pasukan itu menjuarai Liga Perdana Inggeris bertukar menjadi tragedi apabila sebuah kereta merempuh orang ramai di pusat bandar, menyebabkan kira-kira 50 tercedera termasuk kanak-kanak.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6 petang waktu tempatan berhampiran Water Street, hanya beberapa meter dari bangunan ikonik Royal Liver dan dewan bandar Liverpool.
Dalam kejadian itu sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun dilaporkan melalui kawasan perarakan sebelum merempuh kumpulan penyokong yang sedang bersurai selepas acara perarakan tamat.
Menurut kenyataan polis Merseyside, lelaki warga Britain itu telah ditahan di tempat kejadian.
Pihak berkuasa mengesahkan insiden tersebut tidak diklasifikasikan sebagai serangan pengganas dan tiada suspek lain yang sedang diburu.
Perkhidmatan Ambulans North West memaklumkan seramai 27 orang dibawa ke hospital termasuk dua mangsa yang mengalami kecederaan parah, salah seorangnya merupakan kanak-kanak.
Sebanyak 20 lagi menerima rawatan di tempat kejadian.
Secara keseluruhan, empat kanak-kanak dilaporkan cedera.
Keadaan di sekitar Water Street menjadi kelam-kabut sejurus insiden berlaku dengan jeritan, tangisan dan orang ramai berlari menyelamatkan diri.
Beberapa mangsa dilihat diusung keluar dengan pengusung manakala sukarelawan St John Ambulans bertungkus-lumus memberikan rawatan awal.
Les Winsper, 55, yang berada di lokasi menceritakan detik mencemaskan itu.
“Orang ramai mula mengetuk tingkap kereta. Kemudian tingkap dipecahkan dan pemandu panik, tekan minyak dan terus melanggar orang. Seorang mangsa tercampak kira-kira 20 kaki ke udara,” katanya memetik laporan The Guardian.
Rakannya, Craig Steward, 52, turut menyaksikan kejadian dan menyifatkannya sebagai paling buruk dalam hidupnya.
“Anak-anak kecil menangis, orang dewasa menangis, semuanya trauma. Saya yakin dia (pemandu) langgar seseorang secara tak sengaja, tapi kemudian panik dan terus tekan minyak,” katanya lagi.
Kelab Liverpool FC dalam satu kenyataan berkata, mereka mendoakan kesejahteraan kepada semua yang terlibat, manakala Perdana Menteri Britain menyifatkan insiden itu sebagai “menyedihkan dan mengerikan”.
Datuk Bandar Wilayah Liverpool, Steve Rotheram turut menzahirkan simpati.
“Hati kami bersama semua yang terkesan, terutama mereka yang cedera. Terima kasih kepada pasukan kecemasan atas tindakan pantas dan penuh profesional,” katanya lagi.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian.
Keadaan beberapa mangsa dilaporkan masih kritikal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








