LUAR NEGARASUKAN

Liverpool curi kemenangan di Paris, Alisson benteng kebal hadang PSG

PARIS – Liverpool mencatat kemenangan dramatik apabila menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) di Parc des Princes, meskipun diasak hebat sepanjang perlawanan.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-87 menerusi Harvey Elliott, hanya 46 saat selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Harvey Elliot menjaringkan gol dramatik untuk Liverpool

Jaringan itu mengejutkan PSG yang mendominasi permainan dengan 27 percubaan ke arah gawang berbanding hanya dua percubaan oleh Liverpool.

Namun, benteng terakhir The Reds dikawal kemas oleh Alisson Becker yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Penjaga gol Brazil itu berjaya menafikan setiap serangan lawan, sekali gus memastikan Liverpool membawa pulang kelebihan berharga ke Anfield bagi perlawanan timbal balik.

Alisson mengakui aksi tersebut adalah antara yang terbaik dalam kariernya.

“Ia mungkin persembahan terbaik dalam hidup saya.

“Pengurus sudah mengingatkan betapa sukarnya berdepan PSG, bagaimana mereka bijak menguasai bola, dan kami perlu bersedia untuk bertahan.

“Kami tahu apa yang bakal berlaku,” katanya kepada TNT Sports.

Elliott yang muncul wira kemenangan turut memuji rakan sepasukannya itu.

“Dia luar biasa, penjaga gol terbaik dunia. Dalam setiap perlawanan, dia membuktikan kebolehannya dan menyelamatkan kami berkali-kali.

“Tanpa dia, saya tidak tahu di mana kami berada,” katanya lagi.

PSG yang menguasai hampir keseluruhan perlawanan dilihat berpeluang cerah untuk meraih kemenangan, namun ketumpulan jentera serangan serta kecekapan Alisson menjadi pemisah dalam pertembungan ini.

Statistik menunjukkan Liverpool hanya memerlukan satu percubaan tepat untuk mendapatkan jaringan, manakala PSG menjadi pasukan kedua dalam sejarah UCL yang melakukan lebih daripada 27 percubaan tanpa sebarang gol dalam aksi kalah mati, selepas mereka sendiri mengalami situasi sama ketika menentang Borussia Dortmund pada Mei 2024.

Walaupun meraih kemenangan, Liverpool berdepan cabaran getir dalam perlawanan timbal balik di Anfield, manakala PSG perlu mencari penyelesaian bagi memanfaatkan dominasi mereka di padang jika mahu menghidupkan kembali peluang ke suku akhir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button