21 laluan penerbangan baharu sempena TMM 2026, tambah 14,000 penumpang seminggu ke Malaysia
PUTRAJAYA – Malaysia bakal memperkenalkan 21 laluan penerbangan antarabangsa baharu bermula bulan ini hingga pertengahan Januari depan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penambahan itu merangkumi 16 penerbangan berjadual dan lima penerbangan sewaan yang akan dikendalikan oleh 10 syarikat penerbangan, menghubungkan Malaysia dengan negara ASEAN, Asia Timur, Uzbekistan dan Sri Lanka.

Menurut beliau, daripada 16 laluan berjadual tersebut, 13 akan mula beroperasi bulan ini manakala selebihnya pada Januari sekali gus menambah sebanyak 81 penerbangan terus ke Malaysia dengan kapasiti maksimum sehingga 13,936 penumpang setiap minggu.
“Bagi lima penerbangan sewaan pula, empat akan bermula pada Disember manakala satu lagi dijadualkan pada Januari,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau berkata, perkhidmatan penerbangan baharu itu melibatkan lapan negara dan 17 destinasi antarabangsa yang menghubungkan sembilan lapangan terbang utama di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Tawau, Kuching, Ipoh dan Langkawi.
Jelasnya, rantau Asia Timur menjadi tumpuan utama perluasan laluan penerbangan dengan tujuh penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan menghubungkan Malaysia ke lapan bandar di China.
“Selain itu, penerbangan berjadual baharu turut dibuka ke Osaka, Jepun dan Busan, Korea Selatan, manakala Taichung di Taiwan akan menerima penerbangan sewaan.
“Dalam rantau ASEAN, enam penerbangan berjadual baharu akan menghubungkan Malaysia dengan Singapura, Jakarta dan Medan di Indonesia, serta Cebu di Filipina,” katanya.
Sementara itu tambahnya, Tashkent di Uzbekistan dan Colombo di Sri Lanka masing-masing akan menerima satu penerbangan berjadual.
“Kebanyakan laluan baharu ini akan dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan, dengan Batik Air mengoperasikan lapan penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan.
“AirAsia pula akan melancarkan satu penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan selain satu penerbangan berjadual oleh Firefly,” jelasnya.
Tambah beliau, syarikat penerbangan asing yang akan memperluas operasi ke Malaysia termasuk enam syarikat dari China iaitu Loong Air, Shandong Airlines, Xiamen Airlines, Hainan Airlines, Sichuan Airlines dan Juneyao Air, yang akan mengendalikan lima penerbangan berjadual serta tiga penerbangan sewaan.
“Baki penerbangan baharu pula akan ditawarkan oleh T’way Air dari Korea Selatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








