BERITA SEMASADALAM NEGERI

MOTAC perkukuh penyelidikan, pendidikan warisan melalui MoU bersama enam institusi

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang pemuliharaan dan pengurusan warisan kebudayaan negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama bersama enam institusi strategik.

Majlis menandatangani MoU yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan itu menyaksikan penglibatan empat universiti awam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah agensi kerajaan persekutuan.

MOTAC
Khairul Firdaus bersama wakil daripada enam institusi yang terlibat dalam MoU bersama MOTAC dan JWN.

Kerjasama tersebut membabitkan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM) serta Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada pemeteraian siri pertama MoU bersama 11 universiti awam pada 16 Mac 2023.

“Sehingga kini, sebanyak 50 program kolaboratif telah dilaksanakan meliputi bidang arkeologi, konservasi, pendaftaran warisan, warisan tidak ketara dan warisan dunia,” kata Khairul Firdaus.

Menurut JWN pula, MoU berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan tapak warisan, penilaian impak pembangunan seperti Archaeological Impact Assessment (AIA) dan Heritage Impact Assessment (HIA) serta pembangunan modal insan melalui pertukaran penyelidik, pelajar dan latihan industri.

“Selain itu, ia turut merangkumi penganjuran seminar, pameran, penyediaan galeri warisan serta perkongsian kepakaran teknikal dalam bidang warisan.

“Tempoh pelaksanaan MoU ini ialah dua tahun dan boleh diperbaharui atau ditamatkan mengikut persetujuan bersama semua pihak,” kata JWN lagi.

Khairul Firdaus melawat salah satu wakil institusi yang menyertai program tersebut.

Kolaborasi dengan MYSA dijangka membuka lembaran baharu dalam pemeliharaan warisan melalui penggunaan teknologi seperti penderiaan jauh (Remote Sensing), sistem maklumat geografi (GIS), penentududukan sejagat (GPS) dan pengimejan spektrum pelbagai.

Inisiatif itu juga menyokong penerapan teknologi digital termasuk pendigitalan artifak, analisis data arkeologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR), pencetakan 3D dan pengkomputeran awan (cloud computing) bagi memastikan pemeliharaan warisan negara kekal relevan dan lestari.

Majlis MoU itu mencerminkan komitmen bersama kerajaan, institusi akademik, badan profesional dan komuniti warisan dalam memperkukuh identiti kebangsaan serta melestarikan khazanah negara.

MOTAC
Sebahagian artifak melibatkan buku Sejarah Alam Melayu yang dipamerkan pada majlis tersebut. 

“Kerjasama ini bukan sekadar memperluas bidang penyelidikan warisan, malah turut berpotensi menjana peluang pekerjaan, memperkasa komuniti setempat dan meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, usaha ini menzahirkan nilai Ilmu, Keihsanan, Kesejahteraan dan Keterangkuman.

“Di samping itu, ia mendukung dasar nasional seperti Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 21), Dasar Pendidikan Tinggi Negara, dan Dasar Industri Kreatif Negara yang menekankan warisan sebagai pemangkin perpaduan, sumber ilmu, serta penggerak ekonomi kreatif negara,” jelas Khairul Firdaus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button