POLITIK

PH masih teliti kerjasama dengan BN bagi hadapi PRN Melaka

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) masih meneliti kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti atau gabungan lain termasuk Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa pilihan sedang dipertimbangkan sebelum keputusan dasar dimuktamadkan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat.

Menurut beliau, pandangan daripada PH Melaka telah diperoleh selain pertemuan bersama PKR Melaka diadakan sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

“Saya sudah mendengar pandangan daripada PH Melaka dan perkara itu perlu dimuktamadkan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat supaya keputusan dasar dapat dibuat untuk meneruskan langkah seterusnya.

“Sama ada kita bertanding dengan persefahaman bersama beberapa pihak ataupun memberi fokus kepada kawasan-kawasan yang menjadi kekuatan kita dengan persetujuan pihak tertentu,” Berita RTM online.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pertemuan dengan BN dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti ruang kerjasama yang boleh diterokai menjelang PRN Melaka.

Menurutnya, PH akan menilai semua kemungkinan sebelum membuat keputusan yang dianggap terbaik demi kepentingan rakyat negeri itu.

“Kita akan cuba melihat peluang sekiranya terdapat kemungkinan untuk bekerjasama. Namun jika tiada persefahaman dicapai, kita tetap perlu melengkapkan usaha dan menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat Melaka melalui PH,” katanya lagi.

Beliau turut berkata,, sekiranya rundingan tidak menghasilkan persefahaman, PH bersedia memberi tumpuan kepada kawasan yang akan ditandingi gabungan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button