BERITA SEMASA

AirAsia Travel Fair 2025 sasar 15,000 pengunjung

KUALA LUMPUR – Pameran pelancongan AirAsia Travel Fair (AATF) 2025 dijangka menarik kira-kira 15,000 pengunjung, peningkatan sebanyak 5,000 berbanding edisi terakhir sebelum pandemik pada 2019.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Amanda Woo berkata, edisi kali ini akan menjadi pameran terbesar seumpamanya dengan rancangan untuk memperluas penganjuran ke beberapa negara lain termasuk Filipina, Vietnam, Indonesia, Kazakhstan dan Uzbekistan bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Amanda Woo, Air Asia

Menurutnya, pameran selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Ogos di Pavilion Bukit Jalil itu menampilkan 213 reruai dan kira-kira 1,000 pakej pelancongan yang disusun khas oleh ejen pelancongan tempatan terkemuka.

“Apa yang kami rancang ialah untuk mengundang semua syarikat penerbangan lain, hotel dan rakan industri pelancongan untuk turut serta. Tahun ini kita sudah ada syarikat penerbangan antarabangsa seperti Air Arabia dan Emirates.

“Tahun depan kita mahu lebih ramai lagi menyertai pameran ini kerana AirAsia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan, tetapi sebuah syarikat pelancongan,” katanya selepas pelancaran AATF 2025 di sini hari ini.

Amanda berkata, penganjuran kali ini juga signifikan kerana memperkenalkan laluan baharu di luar Asia, khususnya ke Asia Tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan dan Istanbul, dengan Malaysia kini semakin dilihat sebagai hab pelancongan serantau.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, inisiatif AirAsia itu amat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 43 juta pelancong tahun ini.

“Sehingga Jun 2025, kita telah menerima lebih 25 juta pelancong domestik dan antarabangsa. Dengan adanya pameran seperti ini, ia akan terus menggalakkan dan membantu Tourism Malaysia mencapai sasaran 43 juta pelancong,” katanya lagi.

Beliau menambah, destinasi yang ditampilkan dalam pameran itu merupakan pasaran utama bagi Malaysia, dengan ketibaan pelancong dari ASEAN dan negara serantau menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Kita juga menyaksikan peningkatan lebih 30 peratus ketibaan dari China dan India sejak kerajaan memperkenalkan polisi visa percuma.

“Ini jelas membuktikan dasar itu memberi kesan besar kepada sektor pelancongan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button