MOTAC serbu pemandu pelancong, entiti tidak berlesen di ibu negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu pelancong serta entiti tidak berlesen dalam operasi di sekitar ibu negara pada 12 dan 13 Ogos lalu.
Operasi berkenaan dijalankan susulan risikan pegawai penguat kuasa MOTAC selain aduan dan maklumat daripada orang awam, penggiat serta persatuan industri pelancongan berkaitan pelanggaran Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan perundangan subsidiarinya.
MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak tiga lokasi pelancongan, sembilan premis perniagaan dan tiga individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 15 notis pemeriksaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 482 dikeluarkan, termasuk sembilan notis di bawah subseksyen 5(2) kerana menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen sah.
Menurut MOTAC, risikan turut dijalankan dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Lumpur (KLTGA) bagi mengesan individu yang disyaki menjalankan aktiviti pemanduan pelancong tanpa lesen sah.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah subseksyen 21(1) telah diambil terhadap individu yang menjalankan pemanduan pelancong tanpa lesen yang sah,” menurut kenyataan itu.
Operasi sama turut mengesan beberapa kesalahan lain, termasuk penggunaan kenderaan persendirian atau kenderaan tidak dilesenkan untuk membawa pelancong, kegagalan mematuhi syarat lesen ditetapkan serta berurus niaga dengan pihak yang tidak berlesen.
MOTAC berkata, tindakan terhadap penggunaan kenderaan persendirian atau kenderaan yang tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong akan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan perundangan diambil terhadap kesalahan yang membabitkan individu, entiti, pemilik dan pihak berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, MOTAC memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak tidak berlesen supaya tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan termasuk pemanduan pelancong, pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan melalui platform dalam talian, media sosial, secara fizikal atau mana-mana medium lain.
Pihak yang melanggar peruntukan berkenaan boleh dikenakan kompaun maksimum RM250,000 atau, jika disabitkan kesalahan, denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482.
MOTAC menegaskan komitmennya untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara menyeluruh, tegas dan berkesan berlandaskan prinsip tadbir urus baik, keadilan, integriti dan akauntabiliti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Orang ramai serta penggiat industri turut dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar undang-undang dan peraturan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MOTAC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








