
Operasi SAR warga emas dikhuatiri lemas ditamatkan selepas tiga hari
SUNGAI PETANI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Masjid, Tikam Batu, ditamatkan pada hari ketiga semalam selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan, Pusat Kawalan Bomba (PKB) Kampung Masjid ditutup sepenuhnya pada jam 7.30 malam sehingga terdapat maklumat baharu berkaitan mangsa.
“Operasi SAR itu digerakkan sejak Ahad lalu selepas mangsa, Mohamad Khalid @ Halim Salleh, 84, dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas susulan penemuan selimut di tebing sungai berhampiran kediamannya.
“Operasi membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu serta 13 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra.
“Operasi turut dibantu unit dron, Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM serta 10 penduduk kampung selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kaedah pencarian melibatkan penggunaan bot aluminium, operasi darat, selaman dan pemantauan di permukaan air sepanjang tempoh tiga hari itu,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Tambahnya, pencarian turut menggunakan khidmat anjing pengesan K-9 dengan menyusuri aliran sungai menggunakan bot fiber sejauh kira-kira tiga kilometer dari PKB Kampung Masjid.
Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui setakat ini.
Operasi itu diketuai Penguasa Bomba Bryan Del Bungkias sebelum ditamatkan selepas perbincangan bersama semua pihak termasuk JBPM, PDRM, penduduk kampung dan waris mangsa.
Terdahulu, media melaporkan lelaki berusia 84 tahun itu dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai berhampiran rumahnya pada malam Sabtu lalu, berdasarkan penemuan selimut di tebing sungai kira-kira 30 meter dari kediamannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








