JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas rugi RM100,000 terpedaya skim bantuan kerajaan palsu

KUANTAN – Seorang warga emas kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai skim bantuan kerajaan palsu dalam kejadian pada 18 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, mangsa berusia 78 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali ketika berada di sebuah kedai makan berhampiran Bera.

Menurutnya, suspek telah menawarkan kononnya bantuan kerajaan dan memberikan RM500 kepada mangsa sebagai ‘bantuan awal’ bagi meyakinkan warga emas berkenaan.

“Suspek kemudiannya terus memperdayakan mangsa dengan menawarkan penyertaan dalam satu program palsu yang didakwa dianjurkan pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata, mangsa turut dijanjikan pulangan sebanyak 20 peratus setiap bulan sekiranya membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM100,000.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang simpanannya sebelum menyerahkan wang tersebut kepada dua suspek berkenaan.

“Selepas menerima wang, suspek melarikan diri dan meninggalkan mangsa di bank tersebut,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu, manakala usaha mengesan dan mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button