BERITA SEMASA

Minit Mesyuarat JAC bocor, PDRM siasat

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan berhubung pendedahan dan penyebaran dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media, semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman serta di media sosial.

“PDRM akan memanggil semua saksi kompeten bagi membantu siasatan kes ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati terbabit dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat berkenaan.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan meminta pihak berkuasa menyiasat kesahihan dokumen minit mesyuarat JAC.

Beliau dilaporkan berkata, sekiranya dokumen itu disahkan sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyiaran atau pengedarannya boleh membawa implikasi undang-undang, khususnya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial, dipercayai bermula dari laman Reddit, sebelum tular di Facebook dan aplikasi X.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button