Polis tahan lelaki rogol jiran berusia 13 tahun
GOMBAK – Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 54 tahun yang disyaki merogol seorang pelajar tingkatan satu di Bandar Tasik Puteri, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.15 malam yang dibuat oleh ibu mangsa berusia 35 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol oleh seorang lelaki dikenali yang tinggal di kawasan kejiranan sama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Susulan laporan itu, katanya, polis bertindak menahan suspek di kawasan perumahan mangsa pada hari sama kejadian dilaporkan.
Menurut beliau, mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








