BERITA SEMASA

Pemilik kedai makan rugi RM10,000 disamun kumpulan lelaki berparang

SHAH ALAM – Seorang pemilik kedai makan mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas disamun tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di premisnya di Sungai Jarom, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mangsa, wanita tempatan berusia 48 tahun bersama suaminya berada di kedai makan berkenaan.

“Tiga lelaki tidak dikenali masuk ke dalam kedai dengan memakai topeng dan bersenjatakan sebilah parang.

“Suspek kemudian melarikan tiga rantai serta dua cincin emas milik pasangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketika kejadian seorang lagi suspek dipercayai menunggu dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza atau Proton Saga dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan kesemua suspek yang terbabit. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis turut menasihati orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button