BERITA SEMASA

Tiga ditahan, 700 saman dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan

MELAKA – Dua pemandu lori dan seorang pelajar sekolah ditahan dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka di seluruh negeri dari 14 hingga 27 Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dua pemandu lori berusia 41 dan 47 tahun ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 47(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Manakala, seorang pelajar berusia 13 tahun ditahan kerana membawa motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘superman’ semasa operasi.

“Pelajar tersebut disiasat mengikut Seksyen 42 APJ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 1,248 kenderaan perdagangan telah diperiksa dan 700 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 200 saman melibatkan lori dengan kesalahan termasuk muatan berlebihan, cukai jalan tamat tempoh dan tayar botak.

Dzulkhairi turut memaklumkan bahawa 18 lori telah ditimbang dan empat daripadanya disita kerana membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

“Operasi ini memberi fokus kepada kenderaan perdagangan seperti bas, lori, dan kenderaan berat lain yang sering kali dikaitkan dengan pelanggaran peraturan lalu lintas serta isu keselamatan jalan raya,” jelasnya.

Beliau menambah, Polis Melaka akan terus komited untuk melaksanakan operasi secara berkala bagi membanteras pelbagai kesalahan lalu lintas dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Dzulkhairi turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button