Anggota polis dipukul ketika cuba leraikan pergaduhan di hospital
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera selepas dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan di Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 pagi sebelum menggerakkan pasukan peronda ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anggota polis yang bertugas di pondok polis hospital berkenaan turut bergerak lebih awal untuk mengawal keadaan sebelum ketibaan pasukan peronda.
“Sebaik pasukan tiba, didapati anggota berkenaan telah dipukul oleh seorang lelaki berusia lingkungan 40-an.
“Siasatan awal mendapati mangsa cuba meleraikan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita, namun suspek bertindak agresif dengan menyerangnya sehingga menyebabkan kecederaan di muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, usaha menahan suspek pada mulanya dihalang beberapa individu lain hingga berlaku pergelutan, namun lelaki itu akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan orang awam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.
Beliau memaklumkan, suspek telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







