UMNO Sabah minta polis perketat kawalan keselamatan susulan perhimpunan aman
KOTA KINABALU – UMNO Sabah meminta pihak polis memperketatkan langkah keselamatan berikutan ura-ura dua perhimpunan aman akan diadakan serentak pada 31 Disember ini di hadapan Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika benar kedua-dua perhimpunan itu berlangsung serentak, terdapat risiko berlakunya insiden tidak diingini sekiranya berlaku provokasi tidak terkawal antara kedua-dua kumpulan.
“Jika seperti yang dilaporkan melalui media sosial dan sidang akhbar bahawa dua perhimpunan itu dirancang berlangsung di lokasi dan masa yang sama, perkara itu memerlukan perhatian serius walaupun ia dikatakan sebagai perhimpunan aman.
“Situasi itu boleh menyebabkan ketegangan, membuka ruang kepada provokasi melampau yang akhirnya boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bung Moktar turut menggesa pihak berkuasa untuk menilai secara mendalam implikasi keselamatan daripada penganjuran perhimpunan ini serta mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk.
Media sebelum itu melaporkan kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah, manakala Gerakan Bangkit Sabahan pula merancang Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji.
Kedua-dua perhimpunan itu dijangka berlangsung serentak bermula pukul 2 petang di hadapan Menara Kinabalu.
Bung Moktar turut mencadangkan beberapa langkah untuk mengelakkan risiko keselamatan, termasuk memindahkan salah satu perhimpunan ke lokasi lain bagi mengelakkan pertembungan fizikal.
“Selain itu, pihak polis perlu mengadakan dialog dengan kedua-dua penganjur bagi memastikan semua pihak mematuhi garis panduan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Langkah keselamatan juga perlu dipertingkatkan dengan menempatkan lebih ramai anggota di kawasan perhimpunan untuk mengawal situasi,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, aspek keselamatan rakyat Sabah tidak boleh dikompromi dan semua pihak perlu bertindak secara bertanggungjawab untuk memastikan keharmonian negeri terus terpelihara.
“UMNO Sabah menyokong apa sahaja usaha yang bertujuan membawa kebaikan kepada negeri itu tetapi ia mestilah dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang dan menjaga kepentingan awam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








