Rakyat Malaysia terima penghargaan Menteri Luar Jepun
KUALA LUMPUR – Pendidik dan penyokong pertukaran budaya Malaysia, Gary Tang Kok Lian menerima Penghargaan Menteri Luar Jepun bagi mengiktiraf sumbangan beliau sejak sekian lama dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun, termasuk bantuan kemanusiaan susulan Gempa Bumi Besar Jepun Timur pada 2011.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, berkata Kok Lian satu-satunya penerima individu yang dipilih di Malaysia tahun ini, antara 173 individu dan 59 kumpulan di seluruh dunia yang menerima penghargaan atas pencapaian cemerlang dalam hal ehwal antarabangsa.
“Hari ini, kita berkumpul untuk meraikan sumbangan luar biasa Encik Gary Tang terhadap persahabatan antara Jepun dan Malaysia,” katanya pada majlis penyampaian penghargaan itu di sini, baru-baru ini.
Shikata berkata, Kok Lian telah memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjayanya sebagai jurubahasa dan pendidik di Institut Bahasa Teikyo, kegiatan keusahawanan serta penglibatan dalam pertubuhan seperti Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM) dan Persatuan Alumni Universiti Tokai Malaysia.
Beliau berkata, Kok Lian memainkan peranan utama dalam menganjurkan aktiviti amal, termasuk konsert bagi mengumpul dana bantuan bencana susulan gempa bumi pada Mac 2011.
Kok Lian turut mengunjungi wilayah Tohoku bersama ahli JAGAM untuk menyampaikan bekalan bantuan secara terus kepada komuniti yang terjejas meskipun perkhidmatan pengangkutan dan kemudahan asas terganggu.
“Pada masa berlakunya kekeliruan dan penyebaran maklumat palsu sehingga menimbulkan kebimbangan berlebihan terhadap keselamatan di seluruh Jepun, Encik Kok Lian menggalakkan sekolah-sekolah di Malaysia menyertai lawatan pendidikan ke Jepun, malah beliau sendiri turut serta dalam lawatan berkenaan,” katanya.
Shikata turut memuji Kok Lian atas sumbangannya dalam membantu penganjuran Festival Bon Odori dan mempromosikan lawatan pendidikan ke Jepun.
Beliau juga memuji Kok Lian kerana menyokong aktiviti pengurusan krisis kedutaan selama beberapa dekad menerusi peranan kehormatnya bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kok Lian dalam ucapan penerimaannya, berkata penghargaan itu mencerminkan sokongan dan kerjasama keluarga, mentor, rakan sekerja serta institusi rakan kongsi yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang perjalanan dan usaha beliau.
Kok Lian pergi ke Jepun pada Mac 1983 sebelum menerima keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mendaftar di Kokusai Gakuyukai, yang kini dikaitkan dengan Pertubuhan Perkhidmatan Pelajar Jepun (JASSO).
Beliau kemudian menyertai Persatuan Pelajar Malaysia di Jepun dan berkhidmat sebagai presidennya pada 1986 bagi membantu rakan-rakan pelajar Malaysia di negara itu.
Kok Lian berkata, dua nilai masyarakat Jepun yang banyak membentuk pandangan hidupnya ialah sonkei, iaitu rasa hormat, dan kansha, iaitu rasa syukur.
Beliau menyifatkan kedua-dua nilai itu sebagai prinsip penting dalam pendidikan, budaya dan hubungan sesama manusia.
Beliau berikrar untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara serta membina lebih banyak jambatan persahabatan dan kerjasama demi generasi akan datang. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








