Peperiksaan akhir tahun sekolah agama, SMA Johor tetap berlangsung, calon wajib pakai pelitup muka
JOHOR BAHRU – Peperiksaan akhir tahun murid sekolah agama dan Sijil Menengah Agama (SMA) di Johor tetap berlangsung bermula esok biarpun penutupan sekolah di negeri itu dilanjutkan lima hari lagi akibat jerebu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Lembaga Peperiksaan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menetapkan peperiksaan akhir tahun bagi murid Tahap 1, iaitu Tahun Satu hingga Tiga di Sekolah Agama Kerajaan Johor, berlangsung dari esok hingga Jumaat.
“Turut diteruskan ialah Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang dijadualkan pada tempoh sama, serta mata pelajaran Lughah Arabiah Muasirah (LAM) bagi Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) di Sekolah Menengah Agama Daerah Batu Pahat pada Selasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tempoh pelaksanaan Ujian Lisan al-Quran bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) murid Tahun 5 turut dilanjutkan sehingga Rabu ini, selaras dengan kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Sementara itu, Ujian Lisan al-Quran dan Hafazan Peperiksaan Akhir Tahun murid Tahap 1 dan 2 (Darjah 1 hingga 5) dilanjutkan sehingga 5 November depan,” katanya.
Mohd Fared berkata, bagi memastikan keselamatan calon sepanjang peperiksaan, semua murid diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa.
“Calon diwajibkan hadir pada hari peperiksaan sahaja dan perlu terus pulang ke rumah masing-masing sebaik selesai menduduki kertas peperiksaan.
“Bagi murid tidak terbabit dengan peperiksaan, mereka tidak perlu hadir ke sekolah dan akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali mengumumkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di Johor dilanjutkan selama lima hari lagi susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin membimbangkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








