Anwar, 63,000 peminat tetap setia saksikan konsert Siti Nurhaliza meski hujan
KUALA LUMPUR – Hujan tidak menghalang kira-kira 63,000 peminat, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, daripada terus menyaksikan persembahan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, konsert itu mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara menerusi persembahan yang disifatkannya indah.
“Seronok malam tadi dapat menikmati persembahan Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara yang begitu indah mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.
“Walaupun hujan turun, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan, hebat Dato’ Sri Siti, hebat juga semangat peminatnya,” katanya dalam kenyataan di Instagram, hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Siti Nurhaliza dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang disifatkannya istimewa dan penuh jiwa.
Anwar berkata, seni dan budaya sentiasa dekat di hati rakyat, justeru warisan berkenaan perlu terus dihidupkan supaya turut dinikmati serta dicintai generasi muda.
“Saya sentiasa percaya seni dan budaya dekat di hati rakyat, justeru warisan ini mesti terus dihidupkan agar turut dinikmati dan dicintai generasi muda.
“Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








