Faisal Halim kecewa kes simbah asid diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut
KUALA LUMPUR – Siasatan serangan asid ke atas tonggak Selangor FC, Faisal Halim diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menurut Peguam Nik Zarith Nik Moustpha, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kami membuat kenyataan di sini sebagai peguam yang mewakili anak guam kami, Faisal Halim berhubung kes serangan simbahan asid terhadap beliau pada Mei 2024.
“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Ini termasuklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Pada 5 Mei tahun lalu, media tempatan melaporkan Faisal disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya sehingga menyebabkan kecederaan di badan dan tangannya.
Dalam pada itu, Nik Zarith memaklumkan Faisal yang juga pemain sayap kebangsaan turut menzahirkan rasa kecewa susulan keputusan siasatan tersebut.
“Segala usaha yang dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil. Ternyata anak guam kami kecewa dengan hasil siasatan tersebut.
“Kami akan teruskan perbincangan dengan Faisal untuk menentukan langkah-langkah seterusnya,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








