Kejadian tembak KLIA: Keutamaan polis untuk elak lebih ramai cedera – KP Selangor
SEPANG – Keselamatan orang ramai menjadi keutamaan polis semasa berdepan dengan penembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar.
Menurut beliau, atas faktor itu, polis terpaksa mengambil langkah berhati-hati untuk tidak menembak penyerang berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai orang tercedera.
“Dia melepaskan tembakan di kawasan umum ada ramai orang awam, termasuk kanak-kanak.
“Sebab itu lebih baik polis keluarkan dia dari kawasan itu dan selamatkan orang awam (daripada risiko terkena tembakan).
“Itu kaedah terbaik berbanding kita engage (membalas tembakan) dengan suspek yang bersenjata api,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini hari ini.
Tambah Hussein, pihak polis dan pasukan keselamatan di KLIA telah mengambil tindakan dengan pantas, sekali gus memastikan keselamatan orang ramai terjamin.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengapa pihak berkuasa tidak membalas tembakan yang dilepaskan suspek yang sebelum itu mencederakan seorang pengawal peribadi isterinya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi semalam seorang lelaki cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan suspek, dikenali sebagai Hafizul Marawi.
Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai cuba menembak isterinya namun sempat diselamatkan pengawal peribadi terbabit.
Bagaimanapun, pengawal peribadi itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, mengalami kecederaan parah dan kini terpaksa ditidurkan oleh pihak hospital.
Menurut Hussein polis yakin Hafizul masih berada di dalam negara, selain memiliki pistol yang digunakannya semasa di KLIA semalam.
Justeru itu, Hussein mengulangi gesaan agar Hafizul tampil menyerah diri secara baik sekali gus memudahkan semua pihak.
Mengulas lanjut, Hussien berkata setakat ini seramai 11 orang sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








