BERITA SEMASA

‘Grooming’, permainan digital antara punca kanak-kanak terjerumus jenayah seksual

KUALA LUMPUR – Taktik ‘grooming’, pendedahan kanak-kanak kepada kandungan seksual melalui media sosial dan permainan digital dikenal pasti sebagai faktor utama peningkatan jenayah seksual kanak-kanak sejak kebelakangan ini.

Ketua Penolong Pengarah (D11) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak PDRM, SAC Siti Kamsiah Hasan berkata, pelaku jenayah seksual bukan sahaja mangsa pada peringkat awal, malah berpotensi menjadi pelaku sendiri selepas terdedah kepada bahan seksual sejak kecil

“Kanak-kanak yang mula terdedah sejak usia muda akan mula berkongsi gambar, melakukan hubungan seks dengan rakan sebaya dan seterusnya berlaku jenayah rogol beramai-ramai (gang rape) serta jenayah berulang,” ujarnya.

Siti Kamsiah berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Forum Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC) sempena Hari Internet Selamat 2026 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur hari ini.

Forum berkenaan turut dihadiri Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Madya Dr Mohd Al Adib dan Pengasas dan Pengarah MN Amplified Marketing, Muhammad Nor.

Baca juga : Fahmi beri amaran penyebar bahan penderaan seksual kanak-kanak akan ditangkap

Siti Kamsiah menambah, ibu bapa juga tidak seharusnya membiarkan anak-anak mentafsir sendiri apa yang mereka lihat dalam permainan atau kartun.

“Contohnya kebanyakan permainan video mendorong pemain untuk menjadi pemenang tunggal, di mana mereka boleh melakukan apa sahaja untuk menang, termasuk membunuh orang lain.

“Untuk terus hidup dalam permainan itu, anda perlu memiliki peluru dan senjata, dan anda boleh menyerang orang lain tanpa mempedulikan hak mereka. Dengan kata lain, anda bebas melakukan apa sahaja asalkan mencapai matlamat permainan,” katanya.

Siti Kamsiah menjelaskan teknik ‘grooming’ yang biasa digunakan termasuk memuji dan memberi perhatian kepada kanak-kanak bagi membina kepercayaan sebelum mempengaruhi mereka melakukan perlakuan seksual.

Beliau berkata, kejadian jenayah seksual boleh berlaku di rumah walaupun ibu bapa berada di situ, kerana kanak-kanak menggunakan peranti digital tanpa kawalan.

Dalam banyak kes, kanak-kanak tidak menyedari risiko yang mereka hadapi kerana berpandangan bahawa interaksi di media sosial adalah biasa dan selamat.

Beliau menegaskan peranan ibu bapa dalam mengawal persekitaran anak, termasuk mengawasi permainan digital, media sosial dan rakan sebaya, bagi mengelakkan anak menjadi mangsa atau pelaku.

“Ibu bapa perlu kreatif dalam mendidik anak, menilai kandungan yang dilihat, dan menegur supaya kanak-kanak tidak mentafsir sendiri apa yang mereka saksikan,” katanya.

Siti Kamsiah juga menekankan kepentingan pengesanan awal terhadap perubahan tingkah laku anak seperti kemurungan, penyendiran, atau perubahan dalam rutin harian.

Beliau menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap ancaman digital dan bersama-sama mengawal risiko jenayah seksual terhadap kanak-kanak, bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat dan sihat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button