JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak hilang ditemukan mati dipercayai dibunuh, 2 lelaki tempatan ditahan bantu siasatan

KOTA KINABALU – Tanda tanya kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak 13 Julai lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh.

Mayat Nurjilya Abdullah, 11, ditemukan kira-kira jam 10.30 malam di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar.

Difahamkan, keadaan mayat yang sudah mereput menyukarkan proses pengecaman, khususnya pada bahagian kepala dan muka.

Susulan penemuan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan dua lelaki tempatan berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar atas bukit Kampung Numbak pukul 10.38 malam tadi.

Nurjilya
Mayat Nurjilya Abdullah, 11, ditemukan kira-kira jam 10.30 malam di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar

“Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput. Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang,” katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ini. Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan,” katanya.

Menurut beliau lagi, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi-saksi serta bukti-bukti berkaitan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button