MOCCIS sumbang RM10,000 kepada UKKM, perkukuh penyelidikan gerakan koperasi
KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima sumbangan RM10,000 daripada Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) bagi menyokong Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) universiti itu dalam memperkasa penyelidikan dan inovasi sektor koperasi negara.
Sumbangan dalam bentuk replika cek itu disampaikan pada satu majlis yang berlangsung di Hotel De MOCCIS, di sini hari ini.

UKKM dalam kenyataan berkata, sumbangan berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, malah melambangkan keyakinan sektor koperasi terhadap peranan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh ekosistem koperasi negara.
“UKKM amat menghargai sokongan MOCCIS yang mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasakan penyelidikan berimpak tinggi demi pembangunan gerakan koperasi negara.
“Sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) bagi melaksanakan penyelidikan gunaan, kajian dasar serta inisiatif pembangunan kapasiti yang dapat memberi manfaat kepada seluruh sektor koperasi,” kata kenyataan tersebut.
Tambah UKKM, kerjasama strategik itu turut memperkukuhkan hubungan antara dunia akademik dan industri koperasi dalam memastikan penyelidikan yang dijalankan bersifat praktikal serta memenuhi keperluan semasa sektor berkenaan.
Sumbangan tersebut akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan penyelidikan berasaskan bukti berkaitan tadbir urus koperasi, kemampanan kewangan dan pembangunan keusahawanan, selain menghasilkan dapatan yang boleh diaplikasikan oleh koperasi di seluruh negara.
UKKM yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merupakan institusi pengajian tinggi khusus dalam bidang keusahawanan dan koperasi, dengan fokus melahirkan graduan serta penyelidikan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi koperasi.
Sementara itu, MOCCIS yang ditubuhkan pada 1934 sebagai Malay Officers Cooperative Credit and Investment Society pula kekal sebagai antara koperasi tertua dan terbesar di negara ini, selain aktif menyokong pelbagai inisiatif pembangunan komuniti dan ekonomi.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak turut merancang memperluaskan hubungan strategik menerusi penyelidikan bersama, program latihan serta perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada pelajar, ahli koperasi dan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan peranan sektor koperasi sebagai antara pemacu penting ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








