BERITA SEMASA

UKKM perluas jenama ke peringkat global, buka pembelajaran untuk pelajar antarabangsa

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kini dalam proses untuk membuka peluang pembelajaran kepada pelajar antarabangsa, sekali gus melebarkan jenama UKKM ke peringkat global.

Canselornya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, hasrat itu adalah selaras dengan rasional penubuhan UKKM yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa khusus dalam bidang kebitaraan keusahawanan koperasi.

“UKKM telahpun memperoleh permit pengambilan pelajar antarabangsa dan akan memulakan pengambilan dijangka pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Pro Canselor dan Majlis Konvokesyen kali Pertama UKKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 13 graduan UKKM dianugerahkan ijazah bagi program Master in Business Administration (Cooperative Management).

Mengulas lanjut, Ewon berkata, sebagai universiti swasta berstatus ‘full-fledge university’, UKKM sedang membuat persiapan awal bagi memperoleh pengiktirafan seperti penarafan SETARA dan persediaan pengauditan Malaysia’s Graduate Top Business School (MyTBS).

Majlis Pemasyhuran Pro Canselor dan Majlis Konvokesyen kali Pertama UKKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

“UKKM juga dalam proses mendapatkan penarafan antarabangsa iaitu Association of MBA (AMBA) yang berpengkalan di Eropah,” katanya sambil menzahirkan keyakinan UKKM mampu menjadi sebuah universiti rujukan dalam bidang kebitaraan koperasi di masa akan datang.

Ewon menambah, UKKM juga telah memulakan pengambilan bagi program Doctor of Philosophy (Entrepreneurship) dengan penerimaan 16 orang calon PhD pada Julai tahun lalu dan akan memulakan pengambilan kohort pertama program Doctor of Business Administration (DBA) pada Julai tahun ini.

Disamping itu, pada Jun 2024 yang lalu, Ewon berkata, beliau telah melancarkan program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi) (Kepujian) untuk golongan eksekutif yang sedang berkerja iaitu Program for Executives (P4E).

“Program P4E ini merupakan program sepenuh masa tetapi dilaksanakan dengan menjalankan kuliah yang bermula pada waktu petang (selepas waktu bekerja) hingga malam bagi membolehkan pelajar eksekutif ini dapat meneruskan kerjaya mereka disamping dapat menyambung pengajian mereka serentak.

“UKKM juga dalam rangka untuk menerapkan serta mengimplimentasikan pendekatan “Work Based Learning” seperti program 2U2I bagi peringkat pengajian pra-siswazah, demi memastikan graduan yang dilahirkan merupakan graduan yang menjadi pilihan dan rebutan industri,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut mencadangakan agar UKKM meneroka serta memperluaskan program pengajian sedia ada dengan menambah
program menjurus kepada business data analytic, pengurusan francais, perniagaan antarabangsa dan kepimpinan keusahawanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button