BERITA SEMASA

Pelajar hadapi masalah kewangan disaran tidak tolak tawaran ke MRSM – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pelajar yang menerima tawaran menyambung pengajian ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tetapi menghadapi masalah kewangan disaran supaya tidak menolak tawaran tersebut.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah mengarahkan semua MRSM untuk menerima semua pelajar tanpa mengira keadaan kewangan mereka.

Jelasnya, pihak MARA akan mencari penyelesaian bagi membantu pelajar berkenaan.

“Saya ingin tekankan bahawa pelajar yang telah menerima tawaran tetapi menghadapi cabaran kewangan, seperti kos pakaian seragam atau keperluan asrama, tidak seharusnya menolak tawaran mereka dalam apa jua keadaan. Sila hubungi MRSM yang berkaitan.

“Kami telah mengarahkan semua MRSM untuk menerima pelajar ini terlebih dahulu, walaupun mereka menghadapi kesulitan kewangan, dan kami akan mencari jalan untuk membantu mereka,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan MARA Integrated Accounting Conference (MiCA), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut memberitahu bahawa seramai 8,909 pemohon ditawarkan mengikuti pengajian ke MRSM bagi kemasukan tahun ini.

Bagi kemasukan tahun ini, sebanyak 7,229 tempat disediakan bagi Tingkatan Satu, manakala 1,680 tempat pula bagi Tingkatan Empat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button