BERITA SEMASALUAR NEGARA

Wira Bondi Beach kongsi mesej menyayat hati ketika sumbangan GoFundMe cecah AS$1 juta

SYDNEY – Wira insiden tembakan di Bondi Beach yang kini dirawat di hospital, Ahmed Al Ahmed, menyampaikan mesej menyentuh hati kepada ahli keluarganya selepas parah ditembak semasa menumpaskan salah seorang penyerang dalam kejadian berdarah itu, kelmarin.

“Saya akan mati, beritahu ahli keluarga bahwa saya telah berusaha menyelamatkan orang ramai,” kata bapa kepada dua anak perempuan itu sebaik rebah akibat terkena dua das tembakan dari seorang lagi penyerang.

Menurut sepupunya, Jozay Alkanj, Ahmed masih berada dalam keadaan tidak stabil selepas dimasukkan ke hospital dan berisiko kehilangan lengannya jika pembedahan tidak berjaya.

Sementara itu, bapa Ahmed, Mohamed Fateh Al Ahmed berkata, beliau berbangga dengan tindakan berani yang dilakukan anaknya ketika semua orang lain memilih untuk melarikan diri.

Mohamed Fateh Al Ahmed

Katanya, Ahmed yang pernah bertugas sebagai anggota polis adalah seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa berpegang pada prinsip untuk melindungi keselamatan orang di sekelilingnya.

Keberanian luar biasa Ahmed yang bergelut dan melucutkan senjata seorang penyerang bukan sahaja menarik perhatian dunia, malah mencetuskan gelombang solidariti antarabangsa apabila dana bantuan GoFundMe yang dilancarkan bagi menyokong pemulihan dan kebajikan keluarganya kini melepasi AS$1 juta (RM4.12 juta).

Sumbangan daripada ribuan penderma seluruh dunia itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian luar biasa yang ditunjukkan Ahmed pada hari kejadian.

Dalam kejadian yang mengorbankan 16 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain, Ahmed, seorang peniaga buah-buahan kelahiran Syria yang menjadi warganegara Australia pada 2022, ditembak selepas bertindak nekad menerpa salah seorang penyerang dan merampas senapang daripada suspek.

Rakaman video yang tular menunjukkan Ahmed menyelinap di belakang kenderaan sebelum menyerang penyerang yang merupakan bapa kepada seorang lagi penyerang dari arah belakang dan melucutkan senjata.

Walaupun berpeluang membalas tembakan, beliau memilih untuk tidak bertindak demikian dan meletakkan senjata itu ke tanah.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya ditembak oleh anak penyerang dari sebuah jambatan berhampiran, menyebabkan kecederaan serius pada tangan dan bahunya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button