IYF@KBS sasar 100 peratus guna dana RM500,000, galak penyertaan belia wanita
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin sasaran penggunaan penuh dana RM500,000 di bawah program International Youth Fund (IYF@KBS) mampu dicapai menjelang penutupan permohonan pada 7 September ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, setakat ini sebanyak RM263,000 telah diagihkan kepada 31 penerima, melibatkan 22 belia lelaki dan sembilan belia wanita.
“Jumlah ini merangkumi 53 peratus daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan. Kita buka permohonan sejak April lalu dan kini memasuki Jendela 3 yang akan berakhir bulan ini. Harapan kita ialah capai 100 peratus penggunaan dana,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya, kementerian turut mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan belia wanita dalam program itu.
“Setakat ini kita berjaya capai 29 peratus, sedikit sahaja lagi untuk penuhi sasaran. Kita mahu lebih ramai belia wanita diberikan peluang menyertai agenda antarabangsa,” katanya lagi.
Mengulas mengenai proses pemilihan, Adam Adli menjelaskan, permohonan dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk impak program dan kualiti cadangan aktiviti.
“Antara perbelanjaan yang dibenarkan ialah tiket penerbangan, pembiayaan visa, makan minum dan penginapan.
“Tetapi keutamaan diberikan kepada permohonan yang memberi kesan besar kepada pembangunan belia, khususnya dalam bidang kepimpinan, inovasi, sains dan teknologi,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, program itu bukan sekadar memberi peluang belia menyertai aktiviti antarabangsa, sebaliknya menjadi platform untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing di peringkat global.
“Permohonan masih dibuka sehingga 7 September, jadi masih ada ruang untuk belia yang berminat menghantar permohonan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








