Sultan Pahang kurnia sumbangan kepada keluarga Prebet Muhammad Amirul Raziq
GEMAS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi sebagai tanda prihatin terhadap insiden yang menimpa anggota tentera muda itu.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal kepada bapa Allahyarham, Rosafindi Tambi Chik dalam satu majlis ringkas di Masjid Felda Sungai Kelamah, kira-kira pukul 3 pagi tadi, sejurus sebelum urusan pengebumian dilaksanakan di tanah perkuburan berhampiran.
Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, Baginda turut menzahirkan ucapan takziah serta rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar.
Allahyarham yang bertugas di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada pukul 9.34 pagi semalam selepas hampir dua minggu bertarung nyawa.
Terdahulu, pada 30 Mac lalu, mangsa ditemui dalam keadaan kritikal di kem berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam sebelum diberikan rawatan intensif akibat kecederaan parah yang dialami.
Selepas hampir 14 hari berada dalam keadaan kritikal, Allahyarham akhirnya menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan keluarga dan rakan seperjuangan dalam kesedihan.
Sumbangan yang dizahirkan pihak Istana Pahang itu diharap dapat meringankan beban keluarga serta memberi kekuatan kepada mereka dalam menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








