BERITA SEMASA

NUR Power diiktiraf Anugerah Tenaga Kebangsaan 2026 bagi Teknologi Pemudah Cara Tenaga Boleh Baharu

KUALA LUMPUR – NUR Power menerima pengiktirafan di Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2026 selepas muncul sebagai naib johan dalam kategori Special Submission Renewable Energy Enabler Technology menerusi projek perintis Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Pencawang Barat NUR Power, Kulim Hi-Tech Park.

Menurutnya dalam satu kenyataan, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan NUR Power dalam membangunkan penyelesaian tenaga inovatif bagi menyokong integrasi tenaga boleh baharu serta menyumbang kepada peralihan Malaysia ke arah sistem tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“Projek perintis BESS berkenaan menjadi langkah penting dalam meneroka keupayaan teknologi penyimpanan tenaga bateri untuk melengkapi infrastruktur bekalan elektrik sedia ada, selain meningkatkan fleksibiliti, kebolehpercayaan dan kecekapan rangkaian elektrik.

“Sebagai satu-satunya utiliti kuasa bebas di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan tenaga secara eksklusif kepada Kulim Hi-Tech Park, NUR Power memainkan peranan strategik dalam membekalkan tenaga kepada salah satu hab industri dan teknologi utama negara,” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, NUR Power turut terus melabur dalam penyelesaian serta infrastruktur inovatif bagi memenuhi keperluan tenaga industri yang semakin berkembang, di samping menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif NUR Power, Datuk Ikwan Hafiz, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen warga syarikat terhadap inovasi dan usaha berterusan meneroka penyelesaian yang mampu menyokong masa depan tenaga lebih mampan.

“Projek perintis Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri mencerminkan kesediaan NUR Power menerima teknologi baharu, selain memperkukuh daya tahan dan fleksibiliti infrastruktur tenaga kami.

“Dalam menyokong pertumbuhan berterusan Kulim Hi-Tech Park, kami kekal fokus untuk menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, cekap dan mampan, di samping meletakkan asas bagi integrasi tenaga boleh baharu yang lebih meluas,” katanya.

Anugerah Tenaga Kebangsaan merupakan platform peringkat nasional yang mengiktiraf organisasi dan projek yang menunjukkan kecemerlangan, inovasi serta kepimpinan dalam sektor tenaga Malaysia.

Pengiktirafan sebagai naib johan dalam kategori Special Submission Renewable Energy Enabler Technology itu turut mencerminkan usaha NUR Power meneroka teknologi di luar penyelesaian tenaga konvensional dalam membentuk landskap tenaga masa depan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button