BERITA SEMASA

Lim Kit Siang, Allahyarham Nik Aziz terima gelaran Tan Sri

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 bagi Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) sekali gus membawa gelaran Tan Sri.

Kit Siang, 82, yang juga bekas Pengerusi DAP antara 26 penerima Darjah Kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri selain tiga individu menerima darjah kebesaran itu bagi kategori pertubuhan politik.

Dalam pada itu, Allahyarham Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia pada 12 Februari 2015 pernah memegang jawatan Mursyidul Am Pas semasa hayatnya telah menerima Darjah Kebesaran PSM dengan gelaran Tan Sri bagi kategori perkhidmatan awam.

Darjah Kebesaran PSM itu adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Kit Siang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan sejak 1969 hingga 2022, manakala Allahyarham Nik Abdul Aziz pula adalah Menteri Besar Kelantan paling lama, bermula 1990 hingga 2013. 

Kit Siang mengumumkan persaraannya pada tahun lalu selepas berkecimpung selama 56 tahun dalam arena politik negara.

Turut dikurniakan PSM ialah 25 individu lain, termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Patmanathan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button