POLITIK

Sanusi akui beban tugas bertambah pegang dua peranan dalam PN, PAS

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui tanggungjawabnya semakin mencabar apabila kini memegang jawatan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) selain kekal sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.

Menurutnya, peranan baharu itu menuntut beliau memastikan pengurusan kewangan PN berada dalam keadaan baik serta mempunyai dana mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, langkah awal yang akan diambil adalah melaksanakan audit akaun bagi mengetahui kedudukan kewangan sebenar gabungan tersebut sebelum merancang strategi seterusnya.

“Saya masih Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan dalam PN sebagai bendahari, jadi saya perlu menggalas dua tanggungjawab serentak.

“Tugas bendahari ini bukan ringan, malah semakin berat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman mengurus jentera pilihan raya sebelum ini akan dimanfaatkan bagi memastikan jentera parti komponen PN terus bergerak walaupun berdepan kekangan kewangan.

Menurutnya, kebanyakan dana PN adalah hasil sumbangan orang ramai yang perlu diuruskan dengan telus sebagai amanah parti.

Sanusi turut menganggarkan kos operasi bagi satu kerusi Parlimen mencecah sekurang-kurangnya RM1 juta, mengambil kira peningkatan kos bahan dan keperluan logistik semasa kempen.

“Walaupun perbelanjaan tidak semestinya dalam bentuk tunai, sumbangan tenaga kerja sukarela juga mempunyai nilai yang setara,” katanya memetik laporan BH Online.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, manakala jawatan Bendahari Agung kini disandang oleh Sanusi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button