Saingan tiga penjuru di PRK Pelangai
BENTONG – Pilihanraya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas.
BN diwakili Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam , 50, berdepan saingan dari calon PN, Kasim Samat, 62, yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS Bentong.
Manakala, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang Haslihelmy DM Zulhasli, 36, bertanding sebagai calon bebas.
Keputusan tersebut diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail selepas proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
“Saya dengan ini memaklumkan menerima tiga kertas penamaan daripada tiga calon bagi pemilihan ke DUN Pelangai, Amizar telah mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.01 pagi, diikuti Kasim (9.02 pagi) dan Haslihelmy (9.08)
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya dalam sidang media di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, hari ini.
SPR sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.
Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 6 Oktober depan.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim, calon Pakatan Harapan Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








