Rafizi jangka penyingkiran kini peringkat akhir, dakwa PKR rencana PRK Pandan
KUALA LUMPUR – Surat tunjuk sebab terbaharu yang diterima bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan beliau sebagai petanda penyingkirannya dari parti kini di peringkat akhir.
Beliau mendakwa PKR kini sedang menyusun langkah terhadapnya, termasuk kemungkinan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Menurutnya, tindakan terhadap beliau dipercayai dirancang secara berperingkat, melibatkan pelbagai lapisan kepimpinan parti bermula dari peringkat cabang hingga ke pimpinan tertinggi.
“Bila susunan itu berlaku serentak, itu bukan kebetulan. Itu keputusan politik yang sedang disediakan.
“Kita pernah tengok pola yang sama sebelum ini. Sebab itu saya kata, ini budaya lama politik dalaman yang kini dibawa masuk semula ke dalam PKR,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berpandangan parti tidak akan memecatnya secara langsung, sebaliknya menggunakan tafsiran tertentu bagi menganggap beliau telah keluar parti.
“Daripada apa yang berlaku sekarang, saya jangka PKR tidak akan pecat saya secara langsung. Mereka akan ambil jalan mentafsir kenyataan dan pendirian saya sebagai saya telah keluar parti.
“Kenapa? Sebab kalau saya dipecat, saya kekal sebagai ahli Parlimen. Tetapi kalau saya dianggap keluar parti, implikasinya lain,” jelasnya.
Beliau turut mengaitkan perkembangan itu dengan kehadiran Presiden PKR, Anwar Ibrahim ke Pandan baru-baru ini yang disifatkan sebagai isyarat politik bahawa parti sedang bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk PRK.
“Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pandan memberi isyarat politik yang cukup jelas. PKR sedang bersedia untuk segala kemungkinan, termasuk pilihan raya kecil,” katanya.
Rafizi pada masa sama menyifatkan pendekatan tersebut sebagai sesuatu yang janggal dalam amalan politik berparti kerana cuba mengelak pemecatan rasmi, sebaliknya membuka ruang kepada kehilangan kerusi Parlimen melalui tafsiran keahlian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








