BERITA SEMASA

PAS tawar diri jadi Pengerusi PN

KUALA LUMPUR – PAS menawarkan diri untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. 

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kesediaannya untuk menerajui PN bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) ke-16.

“PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu menyentuh mengenai kemelut di Perlis katanya, PAS komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan dalam kerajaan negeri  selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU lalu. 

Namun pada masa sama katanya, PAS tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.

Sehubungan itu katanya, semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas.

Dalam pada itu katanya, PAS juga menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button