Laporan RCI Tabung Haji: UMNO dan PAS diminta hentikan ‘sandiwara’
IPOH – UMNO dan PAS diminta menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai ‘sandiwara’ berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Aziz Bari berkata, tindakan kedua-dua parti itu sejak laporan RCI berkenaan didedahkan adalah sesuatu yang ganjil, termasuk tindakan PAS memboikot persidangan Parlimen serta penganjuran seminar bagi mempertikaikan dapatan RCI.
Menurut beliau, UMNO dan PAS perlu mengakui bahawa RCI berkenaan ditubuhkan dan menyiapkan laporannya ketika kedua-dua parti terbabit berada dalam kerajaan.
“Perlu diingat, suruhanjaya tersebut ditubuhkan serta menjalankan fungsinya mengikut kehendak undang-undang sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Disemak 1973).
“Justeru, mereka harus akur dengan hasilnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong juga telah menitahkan supaya tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat serta mengingatkan agar mereka yang bertanggungjawab dicari hingga ‘ke lubang cacing’.
Sehubungan itu, beliau berpandangan tindakan UMNO dan PAS menganjurkan seminar serta mendesak penubuhan RCI baharu tidak selari dengan perkembangan tersebut.
“Masanya untuk siasatan sudah berlalu dan sekarang adalah masa untuk bertindak,” katanya.
Beliau turut mendakwa PAS enggan menggunakan medan yang telah disediakan untuk membahaskan isu berkenaan, sebaliknya didakwa bersekongkol dengan UMNO untuk mengalihkan perhatian kepada isu lain.
Dalam pada itu, Aziz menegaskan isu Tabung Haji bukan semata-mata isu yang melibatkan satu kelompok masyarakat, sebaliknya menyentuh kepentingan semua kaum di Malaysia.
Katanya, langkah menyelamatkan Tabung Haji sebelum ini turut melibatkan kepentingan rakyat secara keseluruhan, khususnya pembayar cukai.
“Justeru, desakan UMNO dan PAS tidak harus dilayan dan kita menyeru agensi penguat kuasa untuk segera bertindak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







