Kemelut PN: Semua pihak digesa hentikan pertikaian terbuka – Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR – Semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) diseru agar kembali ke meja perbincangan dan menghentikan pertikaian terbuka di ruang awam, susulan pelbagai kemelut yang dilihat boleh melemahkan kesepaduan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Tertinggi PN merangkap Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan sebarang perbezaan pandangan perlu diurus secara matang melalui mekanisme dalaman, bukannya dengan kenyataan terbuka yang hanya mengeruhkan keadaan serta memberi kelebihan kepada seteru politik.
Menurut beliau, PN merupakan gabungan yang menjadi harapan rakyat dan kesepaduan yang dibina selama ini sememangnya tidak disenangi pihak lawan, khususnya gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang didakwa sentiasa mencari ruang untuk memecah-belahkan perpaduan PN.
“Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam muafakat politik, namun ia mesti diurus dengan berhemah dan berlandaskan asas persefahaman yang telah dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan tidak semua tuntutan atau kehendak setiap pihak dapat dipenuhi dalam sebuah gabungan, namun sikap saling menghormati dan berpegang kepada muafakat merupakan kunci utama kekuatan PN.
Dalam masa sama, Tuan Ibrahim berkata terdapat pihak tertentu yang dilihat ‘bertepuk tangan’ melihat PN bertelagah sesama sendiri, malah tidak mustahil wujud cubaan menyusup masuk bagi menimbulkan keraguan serta pertikaian sehingga melemahkan muafakat sedia ada.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak dalam PN agar kembali memperkukuh kerjasama, memperkemas jalinan antara parti komponen serta bermuhasabah bagi membaiki kelemahan demi mengekalkan kepercayaan rakyat menjelang PRU akan datang.
“Hentikan kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat. Jangan menikam belakang kawan sendiri atau berbangga menjatuhkan rakan gabungan,” tegasnya.
Mengulas peranan penulisan dan pandangan awam, beliau berkata sumbangan idea yang membina amat penting untuk menjelaskan kekeliruan dan mengukuhkan jemaah, namun menasihatkan agar pihak yang sering mengelirukan ahli mempertimbangkan semula pendirian masing-masing demi kepentingan muafakat.
“Persoalannya, di manakah posisi yang wajar kita ambil demi kelangsungan dan kekuatan muafakat ini?” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








