POLITIK

Hashim Jasin sindir Anwar: PAS ada ‘3-4 lori’ calon PM

ALOR SETAR – Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, menyindir kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa PAS mampu mengemukakan “tiga hingga empat lori” calon perdana menteri.

Beliau berkata, ukuran sebenar seorang pemimpin bukan terletak kepada gaya atau retorik politik, sebaliknya pada tahap taqwa, pematuhan kepada syariat serta persediaan menghadapi akhirat.

“Saya pernah suarakan hasrat itu sejak dua tahun lalu, bahawa dalam Perikatan Nasional (PN) sesuatu keputusan yang melibatkan dasar mesti dibuat selepas berunding. Bukan umum sesuka hati.

“Kalau ikut sistem Islam, kita ada kriteria yang jelas untuk memilih pemimpin. Bukan macam sekarang, siapa yang mahu jadi perdana menteri terus mendakwa dirinya layak.

“Dalam PAS, kita boleh tampilkan ramai calon, bahkan kalau nak diikutkan, ada tiga hingga empat lori calon yang layak,” katanya ketika berucap dalam satu majlis di Kedah, semalam.

Related Articles

Hashim berkata, sudah tiba masanya PAS memimpin PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), berikutan kekuatan jentera parti serta kemenangan yang dicapai di empat negeri pada pilihan raya lalu.

“Kita yakin kemenangan lebih besar mampu dicapai. Malah, persediaan kita kali ini jauh lebih baik. Saya kagum melihat kehadiran begitu ramai ulama, muslimat dan pemuda yang menunjukkan kesiapsiagaan jentera kita,” katanya lagi.

Mengulas isu simbol parti pada pilihan raya akan datang, Hashim menegaskan empat negeri di bawah pentadbiran PAS wajar menggunakan lambang parti sendiri berbanding simbol PN.

“Sebelum ini ada masalah teknikal di Kedah, tetapi kali ini kita mahu perunding-perunding lebih bersedia dan adil dalam pembahagian kerusi,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip Islam menekankan pemilihan pemimpin berdasarkan kelayakan dan ketaqwaan, sebagaimana kisah Sayyidina Umar yang mendahulukan Abu Bakar sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

“Itulah cara Islam. Kita bukan ikut orang, sebaliknya mereka yang perlu ikut kita. Kalau kita guna nama Parti Islam tetapi tidak ikut sistem nilai Islam, itu tidak senonoh,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button