Keluar parti bukan keluar Islam – Mahfuz Omar tulis surat terbuka kepada ahli PAS
KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar menyeru ahli dan penyokong PAS agar membezakan antara iman kepada Allah dan kesetiaan terhadap parti politik.
Mahfuz berkata, beliau prihatin terhadap ahli-ahli PAS yang dakwanya kekal bersama parti atas dasar ketakutan terhadap dosa, kesesatan akidah dan kemurkaan tuhan.
Katanya, kenyataan Presiden PAS bahawa pertembungan antara PAS dan UMNO bukan isu akidah, sebaliknya hanya melibatkan perbezaan pendekatan politik menuntut satu muhasabah serius dalam kalangan ahli dan penyokong parti itu.
“Jika ia bukan isu akidah, maka iman kita tidak terikat pada parti,” katanya dalam surat surat terbuka kepada penyokong PAS hari ini.
Mahfuz menekankan bahawa Islam tidak pernah mengajar bahawa keahlian dalam mana-mana parti politik menjamin syurga atau sebaliknya membawa ke neraka.
Beliau menegaskan bahawa iman adalah hubungan peribadi antara hamba dan Allah dan tidak diwakilkan kepada mana-mana organisasi politik, pimpinan atau simbol kepartian.
Dalam surat itu juga, beliau menyentuh kebimbangan sesetengah ahli PAS yang takut dilabel sebagai munafik, dikafirkan atau diputuskan ukhuwah sekiranya berbeza pandangan atau meninggalkan parti.
Menurut Mahfuz, istilah munafik dan kafir adalah istilah akidah yang besar dan tidak wajar dipolitikkan.
“Berbeza pandangan bukan dosa. Berubah pendirian bukan khianat,” katanya.
Mahfuz turut menegaskan bahawa keluar parti tidak bermakna keluar daripada Islam dan meninggalkan organisasi politik bukan bererti meninggalkan iman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














