Johari dilantik wakili UMNO runding RUU PSB
KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai wakil parti itu untuk berunding dengan pihak kerajaan bagi merombak dan menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Johari akan berunding dengan kerajaan bagi membawa pendirian UMNO terhadap isu berkenaan.
“UMNO amat prihatin terhadap keresahan rakyat berkaitan RUU PSB. Justeru, konvensyen diadakan hari ini bagi menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Sementara itu, Asyraf berkata, dengan resolusi Konvensyen PSB yang berlangsung hari ini, parti itu berpandangan RUU sedia ada tidak boleh diteruskan tanpa penambahbaikan menyeluruh demi kepentingan rakyat.
Terdahulu, Johari memaklumkan, UMNO akan meminta supaya RUU berkenaan dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk ditambah baik agar lebih komprehensif dengan mengambil kira pandangan serta kritikan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








